1.0
Pengenalan
Aktiviti
penilaian dalam bidang sains bermula dengan kajian yang dijalankan oleh Galton dan Binet untuk
mengukur kebolehan
individu. Konsep
penilaian seterusnya
berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran,
penilaian dan pentaksiran.
1.1
Pengujian
Pengujian
bolehlah dianggap sebagai proses
penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrument
bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang pelajar atau
individu. Menurut Cronbach(1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala
bernombor, atau satu system yang berkategori.Menurut Raminah(1991), ujian adalah suatu cara untuk
mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid dalam keadaan yang
dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian
atau pengadilan.
Proses
pengujian biasanya bermula
dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir
dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui tahap pencapaian
pelajar mereka. Oleh itu kecekapan guru untuk membina alat pengujian
yang baik sangat mustahak bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran para pelajar.
1.2
Pengukuran
Pengukuran didefinisikan sebagai suatu proses untuk mendapatkan
penjelasan secara numerik(melalui angka) tentang sebanyak mana pelajar
mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu atau proses menentukan sejauhmana
seseorang individu memiliki ciri-ciri tertentu. Untuk lebih mudah
difahami tentang prestasi dan keupayaan seseorang individu kita menggunakan sesuatu pengukuran
berbentuk angka, misalnya peratus ujian sains adalah untuk menggambarkan
prestasi pelajar dalam subjek tersebut.
1.3
Pentaksiran
Pentaksiran boleh didefinisikan sebagai proses mendapatkan maklumat
dan menggunakannya untuk membuat keputusan tentang pelajar, kurikulum,
program atau dasar. Pentaksiran ialah aktiviti pelengkap dalam sesuatu pengajaran. Ianya
dilaksanakan secara formal
atau tidak formal semasa pengajaran berjalan sama ada secara sedar atau tidak.
Aktiviti pentaksiran bergerak
seiring dengan aktiviti pengajaran serta mempunyai tujuan dan peranan yang
tertentu seperti untuk tujuan formatif, sumatif, diagnostik atau penerokaan.
Mentaksir kebolehan pelajar secara ujian merupakan satu
kemestian dalam pengajaran. Ujian yang dilaksanakan terdiri dari pelbagai bentuk iaitu objektif dan
subjektif. Secara umumnya pentaksiran membawa maksud yang berbeza
daripada penilaian, iaitu skop pentaksiran lebih luas daripada penilaian. Dalam
pentaksiran sudah termasuk elemen penilaian formal dan tidak formal.
1.4
Penilaian
Penilaian dilakukan dengan pelbagai matlamat. Ia juga dianggap sebagai satu cara untuk
mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Ia seringkali
digunakan dalam sebarang kaedah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru ia dianggap sebagai proses
membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau
harga bagi sesuatu benda atau perkara. Menurut Stufflebeam(1971),
penilaian sebagai proses
menerangkan sesuatu secara terperinci melalui mencari dan memberi maklumat yang
berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan. Menurut
Gay(1985), penilaian ialah
satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi
menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
Popham(1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran
yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.
Dalam bidang pendidikan penilaian mencakupi aspek-aspek
hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil sesuatu program pengajian. Selain data kuantitatif
penilaian juga boleh dibuat melalui data berbentuk kualitatif misalnya melalui
pemerhatian atau temubual. Secara ringkasnya penilaian merangkumi tiga
proses utama iaitu, mengukur,
menganalisis ukuran dan menginterpretasikan ukuran.
1.0
TUJUAN
PENTAKSIRAN
Matlamat utama pentaksiran yang dilaksanakan adalah untuk memperbaiki proses
pengajaran dan pembelajaran. Ianya sudah tentu akan memberikan manfaat
kepada bukan sahaja guru tetapi juga pelajar, ibu bapa serta pembuat dasar di
kementerian pelajaran. Hasil
penilaian yang dijalankan dapat dijadikan asas oleh guru untuk mengambil
sebarang keputusan berkait dengan proses pengajaran demi untuk meningkatkan
keberkesanannya.
Secara umumnya tujuan pentaksiran atau penilaian yang
dilaksanakan adalah untuk mendapatkan Maklum
balas,membuat pelaporan, penempatan, merancang aktiviti serta penggredan.
1.1
Maklum balas
Penilaian yang dilakukan oleh guru dapat memberikan maklum balas
kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran
yang telah diajar. Selain itu penilaian juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang
dihadapi oleh pelajar. Guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar serta tahap kecerdasan
dan kecepatan seseorang pelajar. Seterusnya guru dapat mengambil tindakan yang bersesuaian bagi
menangani sebarang masalah pelajarnya.
Penilaian yang dijalankan sepanjang
tempoh pengajaran dan pembelajaran dapat menunjukkan kemajuan pelajar dalam satu jangka masa tertentu.
Ianya dapat memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi
pelajar seterusnya mengambil tindakan serta pendekatan yang paling sesuai untuk
membantu pelajar.
2.2
Pelaporan
Hasil penilaian yang dilaksanakan oleh guru seharusnya
dikongsi bersama oleh pelajar, ibu bapa serta pihak kementerian. Justeru satu bentuk pelaporan yang
standard perlu disebarkan bagi makluman dan tindakan seterusnya. Laporan yang dihasilkan
juga boleh membantu
pelajar menyedari tahap kendiri serta prestasi masing-masing yang menyumbang
kepada motivasi mahu pun tindakan penambahbaikan. Kepada ibu bapa ianya
sangat mustahak bagi mengenalpasti dan maklumat sebenar berkaitan prestasi
anak-anak mereka. Kerjasama ibu bapa di rumah bagi membantu anak-anak dalam
menguasai pengetahuan dan kemahiran sangat membantu pelajar bagi meningkatkan
pencapaian mereka. Kepada
pihak PPD, JPN serta kementerian ianya sangat membantu dalam menggubal atau
menambahbaik kurikulum yang sedia ada serta memperkenalkan pembaharuan di
mana-mana yang perlu dalam sistem pendidikan negara.
1.2
Penempatan
Tujuan penilaian
juga adalah untuk memilih
dan menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan dan kemahiran mereka.
Ia juga bertujuan untuk
menentukan aliran serta kecenderungan mereka dalam bidang yang berbeza-beza.
Secara lebih khusus guru perlu menempatkan pelajar dalam kumpulan yang sesuai
supaya guru dapat menyesuaikan pula dengan kaedah dan pendekatan yang diambil
semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
2.4
Perancangan
Pentaksiran yang
dijalankan juga dapat
menggambarkan tahap penguasaan pelajar dalam isi kandungan serta kemahiran yang
dikuasai. Ini akan membantu
guru merancang aktiviti serta mengambil tindakan yang sewajarnya serta
bersesuaian dengan pelajar berkaitan. Perancangan jangka pendek dan
jangka panjang akan membantu guru mencapai target yang ditetapkan atau yang
harus dicapai.
2.5 Penggredan
Penilaian sumatif
yang dilaksanakan memerlukan intepretasi yang lebih terperinci terutamanya bagi
menentukan tahap pencapaian pelajar dalam sesuatu subjek atau kemahiran. Untuk
itu pelajar perlu diberi
gred bagi memudahkan pihak ketiga mengenal pasti keupayaan pelajar terutama
apabila memilih aliran atau untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi.
Ringkasan
Pengujian: Proses/prosedur yang
sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk
menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.
Pengukuran:Proses/prosedur yang
sistematik bagi mengukur
perubahan tingkah laku pelajar yang boleh dibuat secara pemerhatian, lisan atau
secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan perubahan tingkah laku pelajar, termasuk
pencapaian akademik, penguasaan kemahiran dan sikap pelajar.
Penilaian: Proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam menafsir hasil
pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik,
kemahiran atau sikap.
Pentaksiran: Proses/prosedur yang sistematik bagi mendapatkan maklumat dan
membuat pertimbangan tentang hasil pembelajaran.
No comments:
Post a Comment